Kebanggaan Maarif

1 Jun 2016 - Seramai 11 orang murid sekolah ini telah dipilih untuk mewakili Negeri Terengganu ke Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Menengah Agama Malaysia (KESSUMA) Tahun 2016. Turut terpilih ke kejohanan kali ini ialah Cikgu Azman bin Muhammad, jurulatih bola tampar (perempuan). Kejohanan kali ke-17 ini diadakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor pada 29 Mei - 1 Jun 2016. Seramai 1,080 atlet dari 13 kontijen seluruh negara menyertai pelbagai acara sukan dipertandingkan. Majlis Penutup kejohanan kali ini disempurnakan oleh Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. 

SEPANG 1 Jun - Para pelajar yang menyertai Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Menengah Agama Malaysia (Kessuma) akan mendapat markah merit kokurikulum seperti pertandingan peringkat kebangsaan yang dianjurkan Kementerian Pendidikan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah tersebut merupakan satu pengiktirafan kepada Kessuma sebagai acara kejohanan sukan sekolah agama yang bertaraf kebangsaan.

“Markah merit kokurikulum amat penting bagi para pelajar untuk mendapat peluang kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam negara.

“Usaha kerajaan tidak hanya untuk melahirkan pelajar sekolah agama yang cemerlang dalam akademik tetapi mahu mereka juga aktif kokurikulum bagi melahirkan insan berkualiti tinggi,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penutup Kessuma Kali Ke-17 di Stadium Bandar Baru Salak Tinggi di sini hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Razali Sahabudin.

Seramai 1,080 atlet dari 13 kontinjen seluruh negara menyertai pelbagai acara sukan dipertandingkan dalam Kessuma yang berlangsung dari 29 Mei lalu dan berakhir hari ini.

Dalam masa sama, Asyraf Wajdi memberitahu, penganjuran Kessuma menunjukkan pelajar sekolah agama tidak terpinggir dari arus pendidikan perdana apabila mereka turut terlibat dalam pelbagai aktiviti kokurikulum.

“Dengan adanya Kessuma, ia dapat melahirkan pelajar yang seimbang daripada segi jasmani, emosi, agama dan intelek.

“Diharapkan Kessuma dapat diteruskan pada masa akan datang dengan pihak penganjur perlu melakukan beberapa penambahan supaya acara sukan ini terus unggul dalam melahirkan pelajar sekolah agama yang aktif dalam kokurikulum,” katanya. 
- UTUSAN ONLINE