Bergu SMA Maarif Johan Kejohanan Badminton

24 Oktober 2015, Sabtu - Berjaya lagi. Nama SMA Maarif, Besut disebut lagi. Kali ini dalam Kejohanan Badminton Bawah 15 SMA Terengganu. Beregu Mohd Faiz bin Abd Wahab (2Bestari) dan Suhazli bin Zakaria (1Gemilang) telah muncul sebagai juara kejohanan ini. Kejohanan yang berlangsung pada 22 - 24 Oktober 2015 ini telah diadakan di Madrasah Moden MAIDAM, Batu Rakit, Kuala Nerus, Terengganu. Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Dewan Badminton Gong Pok Jin, beregu SMA Maarif telah berjaya mengalahkan beregu dari SMA Sultan Ismail, Dungun, Terengganu dalam pertandingan yang sengit dan penuh mendebarkan.

Kunjungan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Besut

13 Oktober 2015, Selasa - Tuan Haji Ab. Halim bin Haji Hassan, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Besut telah berkunjung ke SMA Maarif awal pagi ini. Kedatangan beliau ialah untuk memantau Ujian Bertulis Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang sedang berlangsung di Dewan Dato' Bentara Luar. Ujian telah bermula dengan subjek Bahasa Melayu dan Matematik pada hari Isnin, diikuti subjek Bahasa Inggeris dan Sains pada hari Selasa. Pada hari Khamis, subjek terlibat ialah Kemahiran Hidup Bersepadu (ERT), Pendidikan Islam dan Bahasa Arab. Kedatangan beliau disambut oleh Cikgu Wan Zaki bin Mahmood (Ketua Pengawas) dan beberapa orang guru.