Penilaian APSSK 2015

6 Ogos 2015, Khamis - Penilaian Anugerah Pusat Sumber Sekolah Peringkat Kebangsaan (APSSK) 2015 untuk sekolah ini telah dijalankan pada hari ini. Dua orang panel hakim telah hadir ke sekolah ini pada jam 8.30 pagi. Mereka terdiri daripada Encik Zakaria bin Hasan dari BTPN Kelantan dan Tuan Haji Jonaidi bin Osman dari BTPN Pahang.
Ketibaan panel hakim telah disambut oleh barisan pengurusan dan tetamu yang hadir. Panel hakim menerima tabik hormat daripada Kadet Pertahanan Awam.
Kemudian, panel hakim diarak dengan pembawa bunga manggar ke laman di hadapan pejabat sekolah. Di sini, mereka dihiburkan dengan persembahan dikir barat.
Setelah selesai menyaksikan persembahan dikir barat, sesi penggambaran dilangsungkan.
Seterusnya, panel hakim dan tetamu kehormat dibawa ke bilik pengetua untuk menikmati sarapan pagi. Kemudian, mereka menghadiri majlis perasmian yang diadakan di bilik mesyuarat. Di sini, panel hakim diberi taklimat mengenai Sekolah Menengah Agama Maarif dan Pusat Sumber Dato' Haji Abbas. Diikuti dengan tayangan video koperat.

Selepas selesai majlis perasmian, panel hakim dibawa melawat ke bilik-bilik utama. Bilik pertama yang dilawati ialah Iza'atul Maarif iaitu studio radio yang terletak di aras 3 Blok B. Di sini, DJ yang bertugas telah menemuramah kedua-dua orang hakim secara "live".

Bilik kedua yang dilawati ialah Bilik SAL. Ustazah Minah bt Ismail dan Cikgu Zaila bt Mat menyambut kehadiran mereka dan memberi penerangan tentang bilik ini.

Bilik ketiga ialah Makmal Komputer. Cikgu Rohani bt Hussin, Penyelaras, telah memberi penerangan. 
Destinasi keempat ialah bilik Iqra' Digital, satu inovasi yang diwujudkan di sekolah ini.
Seterusnya, panel hakim dibawa masuk ke Taman Herba. Kedatangan mereka disambut mesra oleh beberapa orang pelajar yang memberi penerangan tentang taman ini. Panel hakim telah diberi peluang menikmati air pokok bismillah yang disediakan oleh pelajar.
Seterusnya, panel hakim dibawa masuk ke Laman Turath, satu inovasi yang menarik perhatian setiap pengunjung. Ianya sebuah bilik yang berkonsep padang pasir. Ustazah Ani Zawati bt Abd Ghani, Ketua Projek inovasi ini memberi penerangan yang lengkap tentang bilik ini. Di dalam bilik ini, tetamu dihidangkan dengan air zam zam dan makanan sunnah. 
Bilik keenam ialah Bilik Tayang 1. Cikgu Zanirariyyah bt Mat Junus, Penyelaras, memberi penerangan mengenai bilik ini.

Seterusnya, tetamu dibawa masuk ke Bilik BBM. Ustazah Suziati bt Ibrahim, Penyelaras mengambil peranan memberi penerangan yang lengkap mengenai perjalanan dan aktiviti yang dijalankan di bilik ini.

Bilik yang kelapan ialah Studion TV Mua'allim. 

Kemudian, panel hakim dibawa masuk ke Bilik Tayang 2. Di bilik ini, disediakan perkhidmat Kampus Astro. 

Bilik UBK adalah bilik kesepuluh yang dilawati oleh Panel Hakim. Menyambut kunjungan mereka ialah Cikgu Marliana bt Othman dan Cikgu Muhd Azrol bin Mansor, kaunselor. Di bilik ini, panel hakim dan tetamu kehormat dihidangkan dengan minum pagi.

Setelah berehat dan membasahkan tekak, panel hakim dibawa mengunjungi Laluan Kerjaya. Cikgu Muhd Azrol bin Mansor mengambil tanggungjawab memberi penerangan tentang laluan yang menjadi tumpuan pelajar ini.

Destinasi kedua belas adalah Anjung Khat. Di anjung ini, tetamu telah disambut dan mendapat penerangan oleh Ustazah Nurzielah bt Mat Aroff. Panel Hakim melihat demostrasi penulisan khat oleh murid. Panel Hakim dihadiahkan cenderamata istemewa iaitu tulisan khat nama mereka yang disediakan oleh murid.
Beredar dari Anjung Khat, Panel Hakim dibawa ke Pondok Ilmu dimana program Ihya' Lughatul Qu'ran dijalankan. Program inovasi ini dikendalikan oleh sheikh Mahmoud Ibrahim Ali Munoefy, tenaga pengajar dari Negara Mesir. Program yang dijalankan pada waktu rehat ini memberi peluang kepada murid-murid untuk berbual dengan sheikh Mahmoud secara santai.
Destinasi seterusnya ialah Anjung Interaktif KBAT. Di anjung ini, murid-murid berpeluang untuk mengenali dan melakukan aktiviti permainan tradisional seperti gasing, congkak dan batu seremban. Murid juga berpeluang untuk menerokai permainan moden seperti shahiba. Panel Hakim juga diberi penerangan mengenai Aeromodeling - satu inovasi mengenai kapal terbang.
Seterusnya, Panel Hakim dibawa ke Bilik ERT untuk menikmati hidangan makan tengahari, berehat dan solat zohor.

Pada jam 2.30 petang, Panel Hakim dibawa ke perpustakaan. Ustazah Wan Nor Asiah bt Wan Mahmud menyambut kedatangan mereka dan memberi penerangan. 

Selepas itu, proses penilaian fail-fail dan dokumentasi diadakan di perpustakaan. Tuan Haji Jonaidi bin Osman membuat penilaian Bahagian A - C. Manakala Encik Zakaria bin Hasan mengambil tanggungjawab untuk Bahagian D - G. Proses penilaian berlangsung dalam suasana tenang.
Penilaian diakhiri dengan rumusan oleh panel hakim yang diadakan di Bilik Mesyuarat sekolah.